WILAYAH - UTARA > BERITA

SUKMA 2024: PERSIAPAN SKUAD SIMBA CAPAI 90 PERATUS

22/06/2024 01:45 PM

KANGAR, 22 Jun (Bernama) -- Persiapan kontinjen Perlis atau Skuad SIMBA 2024 bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos ini sudah mencapai 90 peratus.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) Mohd Azraai Zain Tusimin berkata persiapan itu termasuk dari aspek fizikal dan mental serta teknikal lain, manakala latihan diteruskan mengikut kesesuaian untuk mengelakkan atlet tercedera pada saat akhir.

"Alhamdulillah, berbaki lagi 57 hari (dari 21 Jun) Skuad SIMBA 2024 sudah berada pada fasa akhir … dijangka atlet akan mencapai kemuncak prestasi pada temasya kelak, insya-Allah," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai Zain berkata sebanyak 288 atlet dari Perlis akan menyertai temasya sukan berkenaan dalam 28 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan antaranya olahraga, angkat berat, taekwondo, silat, pelayaran dan golf.

Beliau berkata kontinjen Perlis menyasarkan 10 emas dengan sukan angkat berat, taekwondo dan olahraga dijangka mendominasi kutipan pingat emas, selain harapan turut diletakkan kepada atlet pelayaran, silat, golf dan catur.

"Jika dilihat daripada pencapaian edisi SUKMA yang lepas, kontinjen meraih enam pingat emas, justeru sasaran 10 emas masih relevan, realistik dan mampu dicapai. MSNPs juga menjangkakan ada kejutan tambahan emas daripada sukan subjektif dan kemahiran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak optimis Sukad SIMBA 2024 bersedia membawa negeri ke peringkat tertinggi dalam temasya itu nanti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan