WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MASALAH BANJIR DI JALAN BETONG-SRI AMAN DALAM SIASATAN - NANTA

23/06/2024 04:54 PM

KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Masalah banjir di Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan Jalan Betong-Sri Aman masih dalam siasatan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya pada masa ini memberi peluang kepada pihak JKR Sarawak untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan jalan penyelesaian.

“Selain kaedah meninggikan aras jalan raya, mungkin ada kaedah lain untuk menangani masalah itu.

“JKR Sarawak masih melihat keadaan di sana, saya sudah mengarahkan pegawai-pegawai yang terlibat melihat langkah yang perlu diambil supaya kejadian tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menerima kunjungan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di kediamannya di sini hari ini.

Pada 26 Mei lepas, akhbar tempatan melaporkan pengguna Lebuhraya Pan Borneo di KM23 Jalan Betong-Sri Aman terpaksa meredah banjir apabila air Sungai Krang naik mendadak kira-kira 8 pagi pada hari berkenaan. 

Dalam pada itu, Nanta berkata bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bulatan Batu Lapan yang menjadi kawasan laluan asal sebelum wujud Lebuhraya Pan Borneo atau dikenali sebagai ‘redline’ akan dinaik taraf dengan pembinaan persimpangan bertingkat.

“Perkara itu telah diusulkan kepada Premier semasa kunjungan hormat ke atas beliau dua minggu lepas, Premier telah bersetuju dan mengarahkan kita (kementerian) memberikan tumpuan kepada masalah tersebut.

“Apa-apa pun kita tunggu surat rasmi daripada kerajaan negeri terlebih dahulu, kemudian disusuli dengan kerja awalan mungkin pada penghujung tahun ini sebelum memulakan projek pembinaan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata pembinaan persimpangan bertingkat Batu Lapan yang dijangka memakan masa tiga tahun itu melibatkan kos berjumlah RM400 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan