WILAYAH - UTARA > BERITA

TANAM MATOA MAMPU JANA PENDAPATAN LUMAYAN

23/06/2024 06:21 PM

JITRA, 23 Jun (Bernama) -- Tanaman buah matoa yang mempunyai gabungan tiga rasa iaitu laici, rambutan dan durian mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.

Bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Aziz Romli, 66, berkata beliau yang mengusahakan tanaman yang juga dikenali sebagai 'buah kristal’ itu telah menikmati hasilnya walaupun diusahakan dalam skala kecil.

“Saya telah menanam enam pokok matoa sejak 10 tahun lepas dan semua pokok telah mengeluarkan hasil. Mulanya saya tidak mengetahui keunikan tumbuhan ini dan ditanam hanya suka-suka, bagi mengisi masa lapang.

“Pada usia tiga tahun pokok ni dah berbuah dan kalau saya tahu ia akan menjadi ‘rebutan’, saya dah tanam ratusan pokok di kebun 10 relong (tiga hektar) saya yang kini ditanam pokok getah,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Menerong, Padang Sera dekat sini hari ini.

Beliau berkata permintaan terhadap buah matoa adalah tinggi dan dijual sekitar RM30 hingga RM38 sekilogram, dan mengakui dapat menambah pendapatan setiap kali tiba musimnya.

“Kalau cuaca baik dan tak kemarau, setiap pokok dapat mengeluarkan buah lebih lebat, dan bagi saya cukup berbaloi untuk diusahakan… buah yang ada di pokok sekarang ini pun sudah ditempah walau belum masak,” katanya.

Aziz berkata orang ramai terutama penduduk kampung digalakkan agar menanam pokok matoa bagi menambah pendapatan kerana pada seawal usia tiga tahun ia sudah berbuah.

“Pada usia tujuh tahun pokok menghasilkan buah yang lebih lebat dan mudah dijaga serta tahan serangan penyakit. Saya syorkan mulalah tanam banyak-banyak di rumah atau tanam secara komersial untuk dijual sendiri dan penuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata buah matoa juga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat antaranya mengurangkan risiko kanser, meningkatkan daya tahan tubuh, mengurangkan risiko sakit jantung, menurunkan tekanan darah dan menjaga kesihatan kulit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan