WILAYAH - SARAWAK > BERITA

THE BORNEO COLLECTIVE: KUMPULAN PEMUZIK 'OTAI' BAKAL GEGARKAN PENTAS RWMF 2024

26/06/2024 01:07 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Gabungan alat muzik tradisional Bumi Kenyalang yang dimainkan oleh barisan pemuzik tempatan terkenal bakal menggegarkan pentas Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF 2024) yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak di sini dari Jumaat hingga Ahad ini.

Kolaborasi buat julung kalinya dengan nama pentas ‘The Borneo Collective’ itu terdiri daripada pemuzik yang telah lama dalam industri atau disebut ‘Otai’ iaitu Jerry Kamit dan Johari Morshidi daripada kumpulan Tuku’ Kame, serta Mathew Ngau Jau, Ezra Tekola Semuel (At Adau), dan Rining Peter Paris. 

Sebagai pemain alat muzik tradisional etnik Lun Bawang dikenali sebagai tapi’, Rining berkata kerjasama di pentas utama festival bertaraf antarabangsa itu menjadi platform tertinggi dalam mengetengahkan keunikan muzik dan budaya di Kepulauan Borneo, khususnya dari negeri ini.

“Sebelum ini saya pernah membuat persembahan secara solo di pentas RWMF tetapi ia hanya lima minit, namun kali ini kumpulan The Borneo Collective akan beraksi selama 40 minit, jadi ini satu pencapaian untuk bersama-sama dengan otai-otai ini buat pertama kalinya.

“Ini juga satu pengiktirafan kepada usaha mengangkat semula dan memperkenalkan alat muzik tapi’ khususnya kepada generasi muda dan orang luar,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, baru-baru ini. 

Selain alunan tapi’ alat muzik tradisional kaum Lun Bawang, kumpulan yang ditubuhkan sempena RWMF 2024 itu turut menyajikan para pengunjung dengan petikan alat muzik tradisional Orang Ulu iaitu sape oleh Jerry, Ezra dan Mathew serta perkusi oleh Johari yang lebih dikenali dengan nama Jo Gendang. 

Rining mengibaratkan peluang untuk beraksi di pentas yang sama dengan pemuzik tersohor seperti Jerry, seumpama bulan jatuh ke riba kerana beliau sudah lama mengimpikan peluang itu.

Beliau berkata kini semua ahli kumpulan sedang rancak mengadakan sesi latihan bagi memastikan adunan semua alat muzik itu nanti kedengaran seimbang serta harmoni apabila dimainkan secara serentak semasa persembahan. 

“Sebelum membuat latihan bersama, kami buat penyelidikan untuk pastikan boleh tak kita ‘adun’ bunyi semua alat muzik ini… contohnya tapi’ hanya mempunyai dua tali manakala sape ada enam tali. Selain itu, genre serta latar belakang muzik kami juga berbeza,” katanya yang merupakan anak jati Lun Bawang dari Ba’kelalan.

Rining berkata The Borneo Collective bakal membuat persembahan pertama pada RWMF 2024 iaitu 28 Jun dengan dendangan sembilan lagu untuk halwa telinga pengunjung, berkonsepkan tema festival tahun ini iaitu ‘Evolusi’. 

Sementara itu beliau berkata pentas RWMF turut memberinya peluang menggerakkan usaha menghidupkan semula minat permainan tapi’ dalam kalangan orang ramai menerusi penganjuran bengkel ‘Tapi’: Revival of the Forgotten Instrument’ yang diadakan pada hari terakhir festival

“Dalam bengkel ini, peserta akan didedahkan dengan anatomi alat muzik tapi’ dan belajar untuk bermain sendiri alat muzik tradisional Lun Bawang yang masih ramai tidak tahu akan kewujudannya itu,” katanya. 

RWMF 2024 bakal menampilkan artis legenda terkenal dengan muzik instrumental elektroniknya yang inovatif, seperti Kitaro dan Datuk Zainal Abidin, selain 68 pemuzik antarabangsa dari 15 negara serta 63 artis Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan