WILAYAH - UTARA > BERITA

DUA LELAKI DITEMBAK MATI DIPERCAYAI DALAM PERJALANAN MELAKUKAN JENAYAH

26/06/2024 07:03 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Dua lelaki yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di Butterworth dekat sini awal hari ini dipercayai dalam perjalanan melakukan rompakan atau mengedar dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata terdahulu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang sedang menjalankan tugas telah terserempak dengan sebuah kereta Perodua Myvi di persimpangan Jalan Pokok Sena dan Jalan Permatang Baru, Sungai Dua, dekat sini dalam keadaan mencurigakan pada 2.05 pagi.

"Pasukan polis menghampiri kereta itu dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, namun pemandunya bertindak memecut (kenderaan) melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Pihak polis mengejar kereta dinaiki dua lelaki itu sejauh dua kilometer sebelum kenderaan itu terbabas. Ketika (polis) mahu membuat pemeriksaan, suspek telah melepaskan tembakan yang menyebabkan polis  terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata selepas keadaan reda, polis menjalankan pemeriksaan dan mendapati pemandu serta penumpang hadapan masing-masing berusia 41 dan 51 tahun telah meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Hamzah berkata pemeriksaan menemukan dua pistol jenis Glock dan .38 Smith & Wesson serta 176 peluru di dalam kereta dengan dipercayai senjata api itu diperoleh dari negara jiran.

“Semakan mendapati Perodua Myvi itu adalah kenderaan dilaporkan dicuri dan cukai jalan juga telah tamat tempoh sejak 2021.

“Dua lelaki itu masing-masing mempunyai 12 dan 13 rekod lampau berkaitan jenayah dan siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada mereka anggota geng kongsi gelap," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan