WILAYAH - UTARA > BERITA

PEGAWAI KASTAM TERTEMBAK DIRI SENDIRI KETIKA MAHU CUBA PISTOL RAKAN

26/06/2024 11:02 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Kejadian membabitkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang (JKDM) yang cedera parah tertembak diri sendiri dipercayai berlaku ketika mangsa mahu mencuba pistol jenis CZ sebelum tertekan picu, dalam insiden 11 Jun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata ia berdasarkan keterangan yang direkodkan daripada pegawai lelaki berusia 42 tahun itu, yang ketika kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), dekat sini.

"Polis merekodkan keterangan pegawai itu di HSJ pada 19 Jun lepas dan berdasarkan keterangannya dia mendakwa pada hari kejadian, telah meminta pistol jenis CZ milik rakannnya untuk melihat dan mencuba senjata api tersebut.

"Pegawai tersebut ingin tahu bagaimanan senjata jenis CZ itu berfungsi dan pada masa itu mangsa telah tertekan picu sebelum tertembak diri sendiri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Hamzah berkata selain keterangan daripada mangsa, polis juga merekodkan keterangan daripada tiga individu iaitu saksi yang juga pemilik senjata itu, pengawai senjata dan seorang anggota kastam yang berada di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa kini berada dalam keadaan sedar, stabil dan boleh berkomunikasi dengan baik selain siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan 326 Kanun Keseksaan

Bernama pada 11 Jun lepas melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dipercayai tertembak diri sendiri membabitkan seorang pegawai JKDM Pulau Pinang ketika mahu menghadiri latihan menembak di jabatan itu di Seberang Jaya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan