WILAYAH - SABAH > BERITA

EKSESAIS KERIS STRIKE: BUMI SABAH 'DIGEGAR' TENTERA TIGA NEGARA SAHABAT

28/06/2024 06:03 PM

KOTA BELUD, 28 Jun (Bernama) -- Bumi Sabah ‘digegar’ oleh tentera Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Australia melalui Eksesais Keris Strike Siri 29/2024 di sini bermula hari ini hingga 12 Julai bagi memperkukuh kerjasama pertahanan tiga negara berkenaan.

Eksesais itu disertai Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (TDM) berpangkalan di Sabah; 25th Infantry Division, United State Army Pacific Command (25ID-USARPAC) berpangkalan di Hawaii; dan Rifle Company Butterworth (RCB), Australian Army berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang.

Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Malek Razak Sulaiman berkata sebanyak 2,850 anggota tentera dari Malaysia serta 690 anggota dari AS dan 130 anggota dari Australia terlibat dalam eksesais itu. 

Beliau berkata Keris Strike merupakan latihan tahunan bilateral yang melibatkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan AS, namun siri kali ini turut membabitkan tentera dari Australia.

“Eksesais dijalankan di kawasan sekitar Kota Belud, Sangkir, Simpang Langkon, Matunggong dan Kudat. Saya mohon orang ramai supaya tidak panik kerana ini hanya latihan biasa, kita guna peluru kapur (blank) dan ia libatkan hubungan antarabangsa tiga negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Malek Razak berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi eksesais kali ini memberi peluang kepada TDM di Malaysia Timur khususnya 5 Divisyen bertukar-tukar pengalaman dan kepakaran dengan tentera dari dua negara berkenaan. 

“Ia juga peluang untuk menguji kesiapsiagaan anggota tentera kita di Malaysia Timur bagi memastikan mereka bersedia menghadapi pelbagai jenis ancaman kelak,” katanya.

Menurutnya eksesais itu juga memperlihatkan kerjasama erat antara tentera tiga negara yang mempunyai hubungan sejarah sejak sekian lama, seperti Australia yang telah bersama Malaysia sejak Perang Dunia Kedua dan semasa darurat lagi.

Sementara itu, Timbalan Pemerintah Operasi Am 25ID-USARPAC Brig Gen Kevin Williams berkata aspek paling penting dalam Keris Strike ialah melatih dan memupuk hubungan baik tentera ketiga-tiga negara, selain mewujudkan platform kukuh untuk kerjasama.

“Kami berharap untuk berkerjasama dalam latihan dan kesiapsiagaan. Ia sesuatu yang bersejarah tetapi yang lebih penting kebolehoperasian dalaman untuk kita bekerjasama kerana ini membolehkan kita belajar, berlatih dan berkembang bersama,” katanya. 

Beliau berkata Keris Strike merupakan antara contoh terbaik bagi hubungan kukuh antara Malaysia dan AS yang melangkaui aspek diplomatik.

Atase Pertahanan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia Kol Corey Shillabeer berkata Keris Strike penting bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia yang telah terjalin sekian lama, selain menjadi medan bagi tentera kedua-dua negara untuk saling belajar.

“Kita akan menjadi lebih baik apabila kita bekerjasama, kami juga banyak belajar daripada Malaysia. Saya berterima kasih kepada Malaysia dan AS kerana mengundang kami menyertai Keris Strike ini buat julung kali,” katanya.

Shillabeer percaya eksersis tersebut akan memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara terutama dalam mengukuhkan kerjasama ketenteraan. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan