WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EPB GROUP YANG BAKAL BERADA DI PASARAN ACE SASAR KUMPUL RM40.08 JUTA MELALUI IPO

28/06/2024 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- EPB Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 23 Ogos depan bercadang untuk mengumpul RM40.08 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Urusan Yeoh Chee Min berkata daripada kutipan itu, RM24.6 juta akan digunakan untuk pembesaran kilang termasuk perolehan tanah daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, pembinaan kilang baharu serta pembelian jentera.

“Fasiliti semasa kami telah melebihi kapasiti dan kami terlepas banyak peluang kerana tidak mempunyai ruang yang cukup untuk mempamerkan produk syarikat. Kami mengelami kekangan dari segi ruang dan oleh itu, kami memerlukan ini,” katanya kepada media sempena pelancaran prospektus syarikat itu semalam.  

Yeoh menjelaskan bahawa kemudahan baru itu akan berkeluasan 70,000 kaki persegi, membolehkan syarikat mempunyai lebih banyak ruang bagi pengembangan masa depan memandangkan keluasan tanah adalah 2.83 hektar.

Syarikat itu juga merancang untuk menerap gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 dan meningkatkan integrasi teknologi robotik dengan penyelesaian mesin pemprosesan dan pembungkusan makanannya. 

Beliau berkata EPB Group telah mengenal pasti peluang dalam industri untuk menggunakan lebih banyak teknologi robotik, memandangkan keperluan kebersihan yang ketat bagi pengendalian makanan dan cabaran mendesak yang dihadapi oleh pengeluar makanan dalam pengambilan pekerja kilang.

“Penggunaan lebih banyak teknologi robotik akan membantu meminimumkan campur tangan manusia disamping mampu menangani jurang penyumberan pekerja. Teknologi robotik adalah penyelesaian untuk isu buruh dan kebersihan yang menelan kos yang agak tinggi,” katanya. 

Ditanya mengenai kehadiran geografinya, Yeoh berkata syarikat itu turut mengeksport ke luar negara, dengan Filipina dan Indonesia sebagai pasaran utamanya.

“Saiz penduduk di kedua-dua negara ini adalah besar serta terdapat banyak permintaan untuk makanan diproses seperti sosej dan nugget,” katanya.

EPB Group terlibat dalam mereka bentuk, menyesuaikan, frabikasi, menyepadukan termasuk mengautomasikan barisan pengeluaran untuk syarikat pembuatan dan pemprosesan makanan. 

Pada harga IPO 56 sen sesaham, EPB akan mencapai permodalan pasaran sebanyak RM208.32 juta menjelang kemunculannya.

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 71.57 juta saham baharu, mewakili 19.24 peratus daripada sahamnya yang diperbesarkan serta tawaran membabitkan penjualan 40 juta saham biasa atau 10.75 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian, kata EPB dalam satu kenyataan sempena pelancaran prospektusnya.

Daripada saham terbitan awam kumpulan berkenaan, 19.57 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui pengundian, yang mana 50 peratus atau 9.78 juta saham akan disediakan kepada pelabur awam bumiputera.

Selain itu, 21.19 juta saham telah dikhaskan kepada pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, kakitangan termasuk rakan perniagaan yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat melalui peruntukan borang merah jambu.

Baki 30.80 juta saham akan disediakan untuk permohonan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) melalui penempatan persendirian.

Daripada 40 juta saham di bawah tawaran jualan, 15.69 juta saham akan disediakan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI, manakala 24.30 juta saham telah dikhaskan kepada pelabur terpilih.

Syarikat itu berkata permohonan IPO akan disediakan semalam (Rabu) dan akan ditutup menjelang 5 petang, 31 Julai 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan