WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUNGAI BAKAP: BANDAR 'KOBOI' KAYA DENGAN TANAMAN PERTANIAN, SARAT INFRASTRUKTUR SOSIAL

30/06/2024 12:04 PM

Oleh R. Ratcharathan

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Tidak ramai yang mengenali Sungai Bakap, namun bandar kecil paling selatan di Pulau Pinang ini mula menjadi tumpuan dan perbualan hangat sebaik diumumkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Sungai Bakap salah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Butterworth dan 35km dari George Town.

Mungkin inilah hikmah di sebalik Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap apabila satu persatu 'hidden gem' kawasan ini mula terungkai dan tanpa disedari ia sebenarnya merupakan sebahagian daripada 'Utara Triangle' kerana lokasinya yang bersempadan antara Parit Bundar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah.

Keunikan itu menjadikan Sungai Bakap yang meliputi 57.8 peratus penduduk Melayu, diikuti Cina dengan 27.1 peratus, India (14.9 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus) berkongsi pelbagai aktiviti, pekerjaan, nombor plat kereta dan berbagai lagi yang sama dengan lokasi sempadannya.

Dengan kepadatan penduduk 676 orang per satu kilometer persegi, kawasan ini juga kaya dengan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan haiwan ternakan sekali gus berpotensi mengembangkan pengeluaran produk pertanian yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi pertanian Pulau Pinang khususnya dan Malaysia secara amnya. 

Ketua Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan Muhaili Mat Saad berkata tanaman yang banyak kelihatan di Sungai Bakap adalah pokok buah-buahan kayu seperti durian, cempedak, nangka, manggis dan rambutan.

“Tanaman pertanian pula meliputi kelapa sawit, pokok getah, betik, buah amra, pisang dan kelapa, selain sayur-sayuran termasuk bendi, terung, cili dan jagung,” katanya kepada Bernama.

Selain dilimpahi dengan tanaman pertanian yang menjadi sumber pendapatan sebahagian penduduk, beliau berkata kawasan itu juga tidak terlepas daripada kemudahan infrastruktur termasuk Hospital Sungai Bakap, Klinik Kesihatan Sungai Bakap, klinik komuniti, balai polis, balai bomba, sekolah, masjid, kuil, tokong dan juga Penjara Seberang Perai.

Sungai Bakap turut memiliki beberapa kampung antaranya Kampung Jalan Stesen, Kampung Titi Hitam, Kampung Sungai Buaya, Kampung Lima Kongsi dan Kampung Valdor selain memiliki tiga ladang yang menempatkan lebih 10,000 unggas (ternakan haiwan spesies burung seperti ayam).

Sementara itu Pengerusi Komuniti MADANI Sungai Bakap Mohamad Aisamuddin Mohamad Kaman berkata terdapat 18 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di bawah DUN Sungai Bakap yang berperanan merancang dan melaksanakan program di kampung, di samping menggerakkan penglibatan komuniti setempat sekali gus menjadi perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak berkuasa.

“Kebanyakan penduduk kampung di sini berkerja kilang, bertani dan bekerja sendiri seperti menjadi penternak ayam, ikan, kambing dan lembu. Selain itu, anak-anak muda juga masih ramai di kawasan Sungai Bakap dan ada antara mereka bekerja di bahagian pulau (Bayan Lepas, George Town),” katanya.

Mohamad Aisamuddin juga berkata pembangunan di Bandar Cassia, Batu Kawan yang berdekatan dengan Sungai Bakap turut melimpahi kawasan berkenaan, justeru yakin pembangunan Batu Kawan yang meliputi perumahan, komersial, pembangunan bercampur, perindustrian, rekreasi dan infrastruktur akan meningkatkan lagi taraf Sungai Bakap.

Beliau berkata perancangan bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur yang dikenali sebagai ‘Meditech City’ di Bandar Cassia dengan menembus pasaran antarabangsa dalam sektor pelancongan perubatan pasti akan merancakkan pertumbuhan pembangunan di Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail daripada PAS.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Untuk rekod, Sungai Bakap pernah menyaksikan PRK pada 8 Nov 1997 berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu Ooi Theng Bok akibat kemalangan jalan raya pada 23 Sept 1997.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan