WILAYAH - UTARA > BERITA

LEBIH 500 PESERTA MERIAHKAN BUSANA RUN, TEMASYA BUDAYA @ NEGERI PERAK 2024

30/06/2024 12:19 PM

TELUK INTAN, 30 Jun (Bernama) -- Lebih 500 peserta menyertai Busana Run bersempena Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini hari ini.

Larian sejauh tiga dan lima kilometer yang bermula kira-kira 8 pagi itu disertai pelbagai bangsa terdiri daripada Melayu, Cina serta India yang menggayakan pelbagai pakaian tradisional kaum masing-masing.

Pengurus acara Busana Run Ramdan Misnon berkata Busana Run yang memasuki tahun kedua ini dilaksanakan bertujuan mengetengahkan seni budaya menerusi acara larian.

"Larian ini adalah aktiviti yang diminati ramai dari golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa, jadi kita masukkan elemen tradisi dan budaya dalam acara larian," katanya ketika ditemui selepas pelepasan larian berkenaan yang disempurnakan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Abd Rashid Abdullah.

Peserta yang lengkap berbusana pakaian tradisional yang memenangi acara larian tersebut akan meraih wang tunai bermula dari RM50 sehingga RM500 dan mereka juga akan dinilai dari segi busana terbaik yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM150.

Temasya Budaya @ Negeri Perak selama empat hari sejak Khamis lepas dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN bersama Majlis Kebudayaan Negeri Perak dengan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Program berkenaan menampilkan pelbagai acara seni dan budaya yang terdapat di Perak antaranya Festival Homestay Perak, Klinik Seni Budaya, Busana Run, Pertandingan Serikandi Puteri Perak, Pertandingan Gendang Urumi, Pertandingan Tarian Dabus Kreasi, Pertandingan Sambey Perak, Pertandingan Tulisan Jawi, Demonstrasi Adat Berjojak dan Demonstrasi Tekat Benang Emas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan