WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RIBUAN PENGUNJUNG MERIAHKAN PENGANJURAN NTW 2024

30/06/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ribuan pengunjung menghadiri Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sejak awal pagi tadi bagi mengetahui pelbagai program latihan percuma dan aktiviti yang diadakan. 

Ketua Khidmat Pelanggan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) Siti Nabillah Natrah Hamshah berkata lebih 10,000 orang mengunjungi NTW 2024 di sini sejak semalam yang menyediakan 30 jenis kursus. 

"Sebanyak 30 jenis kursus berjalan serentak dalam bilik latihan yang disediakan bermula 9 pagi sehingga 6 petang dan terdapat juga ceramah yang menarik dan boleh disertai. 

"Acara larian sejauh 5 kilometer pada 6.30 pagi tadi juga mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penglibatan 3,500 peserta," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Minggu Latihan Kebangsaan 2024 dianjurkan HRD Corp di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KSM) berlangsung di seluruh negara sejak 24 Jun lepas manakala penganjuran di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula semalam. 

NTW 2024 bertujuan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.

Sementara itu Ketua Pembelajaran dan Pengurusan Bakat PROTON Shafinaz Jamaludin berkata pihaknya menempatkan kenderaan elektrik smart #1 bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai teknologi baharu dalam bidang automotif.

"Selain memberi latihan kemahiran industri kenderaan elektrik (EV) kepada kakitangan, kita juga memberi pendedahan kepada orang ramai supaya lebih ramai mahir mengenai teknologi ini dan ternyata memang ramai yang berminat untuk mencuba," katanya.

Pelatih Teknikal Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia, Lai Ching Soong pula berkata pihaknya mempamerkan kenderaan elektrik model EQA 250 untuk diperkenalkan kepada orang ramai.

"Kita mengajak orang ramai terutama pelajar lepasan sekolah untuk menyertai latihan tentang automatif dan industri EV dengan yuran pendaftaran amat rendah bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dengan teknologi ini," katanya.

Bagi pengunjung, Ammar Zahin Suhaimi, 27, beliau datang dari Sungai Buloh hari ini demi mencuba nasib mendapatkan peluang kerja baharu antaranya di reruai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa syarikat lain. 

"Memang bagus jika kerajaan meneruskan penganjuran program seumpama ini kerana memang dapat memudahkan orang ramai mencari pekerjaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan