WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM MERAFAK SEMBAH UCAP TAHNIAH ULANG TAHUN KEPUTERAAN SULTAN KEDAH

30/06/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-82 Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.

Menerusi catatan di X, Perdana Menteri berkata beliau mendoakan Sultan Salehuddin, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

"Semoga Duli Tuanku kekal qarar memerintah rakyat Kedah Darul Aman dengan adil dan saksama. Daulat Tuanku," katanya.

Perdana Menteri hari ini mendahului senarai 238 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah yang diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Anwar dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (SSSK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja.

Turut merafak sembah tahniah kepada Sultan Sallehuddin ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebooknya.

“Patik mendoakan agar Tuanku Sultan dan KDYMM (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Sultanah Maliha, serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan