WILAYAH - UTARA > BERITA

MATRIKULASI: KPM AKAN BUAT PENGUMUMAN LANJUT, BINCANG DENGAN KPT - FADHLINA

30/06/2024 08:53 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengumuman selanjutnya berkaitan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata beliau bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan meneliti perkara itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya dengan pengumuman lain yang berkaitan.

Beliau menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhubung perkara itu sebagai jaminan pendidikan yang diberikan kepada semua anak-anak negara ini tanpa mengira latar belakang dan kaum.

"Pertama, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman cukup penting dan bermakna ketika ini, apatah lagi jaminan untuk mendapatkan serta meneruskan pengajian di peringkat tinggi untuk anak-anak cemerlang SPM tahun ini.

"Jadi inilah satu jaminan pendidikan yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri dan saya bersama Menteri Pendidikan Tinggi akan bersama-sama meneliti perkara itu dan kita akan susul tindak dengan pengumuman-pengumuman lain nanti," katanya kepada pemberita selepas program bersama kumpulan wanita berkaitan penjagaan wajah dan fisioterapi di Taman Puteri Gunung di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, bermula tahun ini. 

Perdana Menteri berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu tidak akan menggangu kuota pelajar bumiputera sedia ada.

Fadhlina berharap pengumuman berkenaan tidak menimbulkan kegusaran terutama berhubung kuota bumiputera kerana jumlah itu kekal selain memastikan peluang pendidikan yang luas untuk semua.

"Tahniah anak-anak semua dan kita harapkan dengan jaminan itu tiada kegusaran terutamanya kuota matrikulasi dikekalkan dan dalam masa sama peluang pendidikan itu cukup luas serta semua dapat tempat untuk melanjutkan pengajian masing-masing," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan