WILAYAH - SARAWAK > BERITA

10 CEDERA, DUA SELAMAT DALAM KEMALANGAN LIBAT TIGA KERETA

30/06/2024 11:41 PM

KOTA BHARU, 30 Jun (Bernama) -- Sebanyak 10 individu cedera manakala dua selamat dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di kawasan Batu Melintang menghala ke Bukit Gerik, Jeli, petang tadi.

Kesemua mangsa terdiri daripada enam lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan enam wanita.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata kejadian menyebabkan lima mangsa cedera parah manakala lima yang lain cedera ringan.

Beliau berkata kemalangan berlaku pada 2.58 petang di KM28 itu melibatkan kereta jenis Naza Citra, Proton Pesona dan Perodua Axia.

“Bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.58 petang dan tiba di tempat kejadian pada 3.29 petang.

“Terdapat dua pemandu kereta tersepit dan anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurut jurucakap itu kesemua mangsa dihantar Hospital Jeli untuk rawatan.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Jeli Supt Saari Yaacob dalam kenyataan berkata kereta Naza Citra yang datang dari arah Gerik ke Jeli dipercayai memotong di garisan berkembar lalu melanggar dua kenderaan lain dari arah bertentangan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di talian 09-944 0222 atau pegawai penyiasat di talian 013-9137 300.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan