WILAYAH - SARAWAK > BERITA

150 PEJUANG KANSER DIRAIKAN SEMPENA BULAN KEBANGSAAN PEMANDIRI KANSER 

01/07/2024 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Seramai 150 pejuang kanser yang boleh diibaratkan sebagai pahlawan dalam melawan penyakit tersebut diraikan hari ini sempena  Bulan Kebangsaan Pemandiri Kanser yang di sambut setiap bulan Jun.

Presiden Persatuan Pengurusan Kanser Malaysia (Canser Care) Amin Ali Sidik berkata program itu bukan sahaja menghargai semangat dan kekuatan pejuang kanser tetapi turut mendidik tentang kawalan penyakit tersebut, selain memberi penekanan terhadap sokongan daripada komuniti dalam perjalanan melawan kanser.

“Program ini untuk menghargai kekuatan dan semangat mereka, serta memberi inspirasi kepada masyarakat agar menunjukkan sikap prihatin, kasih sayang dan berjuang bersama mereka melawan kanser," katanya kepada pemberita di Auditorium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi meringankan beban pesakit kanser, terutamanya daripada golongan B40. 

Selain itu, bagi membantu pesakit kanser meneruskan kehidupan selepas menjalani rawatan, Amin Ali berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia dan Persatuan Pemasaran dan Publisiti Niaga Malaysia bagi membantu pejuang kanser menjana pendapatan melalui peluang perniagaan.

“Saya berharap kerjasama ini dapat memberikan impak yang positif dan signifikan dalam kehidupan pesakit kanser bagi memastikan mereka tidak hanya mendapat rawatan yang diperlukan tetapi juga sokongan kewangan dan peluang ekonomi yang boleh membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya. 

Sementara itu, Norbinah hamid, 50, yang menghidap kanser payu dara berkata program yang diadakan pada hari ini amat bermakna buat dirinya kerana dapat menimba lebih banyak ilmu dan berjumpa dengan kawan baharu. 

“Pada hari ini saya amat gembira apabila dapat berjumpa dengan rakan-rakan kanser yang kami jarang berjumpa. Ia seperti satu ubat bila kami bersama, kami saling memahami sekali gus dapat hilangkan stress,” katanya yang menghidap kanser sejak tahun 2017. 

Berkongsi pandangan sama, suri rumah Maimunah Mohd Ismail, 64, yang juga menghidap kanser payu dara sejak tahun 2014 berkata program itu dapat memberi semangat untuk pesakit kanser dan gembira ada pihak yang memahmi dan membantu golongan seperti mereka. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan