WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CHINA, FILIPINA SETUJU TERUSKAN DIALOG MENGENAI LAUT CHINA SELATAN

03/07/2024 03:04 PM

MANILA 3 Julai (Bernama-CMG) -- China dan Filipina mengadakan mesyuarat kesembilan berhubung Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM) di Laut China Selatan di sini, pada Selasa.   

Kedua-dua kumpulan perunding yang masing-masing diketuai Naib Menteri Luar China Chen Xiaodong dan Timbalan Menteri Luar Filipina Theresa P. Lazaro telah bertukar-tukar pandangan dengan sikap ikhlas dan konstruktif mengenai keadaan di Laut China Selatan, terutamanya mengenai kawalan situasi di perairan Ren'ai Jiao.

China menegaskan kedaulatan dan penguatkuasaannya ke atas Kepulauan Nansha termasuk Ren'ai Jiao dan perairan sekitarnya, serta menggesa Filipina menghentikan pencerobohan dan provokasi di Laut China Selatan.

China juga meminta Filipina mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dan kembali kepada dialog untuk menangani perselisihan, serta bekerjasama mengawal situasi dan meredakan ketegangan di Ren'ai Jiao.

China dan Filipina berpendapat bahawa memandangkan pemeliharaan keamanan dan kestabilan di perairan itu selari dengan kepentingan kedua-dua pihak, dan juga merupakan matlamat bersama bagi negara-negara serantau, perlulah mengekalkan dialog dan perundingan menerusi mekanisme yang melibatkan BCM bagi mengelakkan konflik dan perselisihan.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai penambahbaikan mekanisme komunikasi berkaitan urusan maritim, menggalakkan dialog antara sektor pengawal pantai kedua-dua negara, selain memperkasakan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi marin serta perlindungan alam sekitar di laut.

Turut hadir, wakil-wakil Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, jabatan sumber alam dan Jabatan Pengawal Pantai kedua-dua negara.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan