WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK DUN SG BAKAP: POLIS BUKA DUA KERTAS SIASATAN

03/07/2024 09:42 PM

NIBONG TEBAL, 3 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang membuka satu lagi kertas siasatan berhubung kesalahan mengedar risalah yang menyalahi undang-undang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata insiden terbaharu yang disiasat mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 itu menjadikan dua kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen PRK berlangsung sejak Sabtu lepas.

Beliau berkata satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan bahan-bahan kempen parti.

"Berbaki tiga hari lagi menjelang hari pengundian 6 Julai ini, polis menasihati semua pihak agar tidak memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja), selain menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya.

"Polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial untuk mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana parti politik atau individu melanggar undang-undang dan peraturan sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata sebanyak 15 permit lagi telah diluluskan hari ini menjadikan keseluruhan 135 permit yang diluluskan sepanjang tempoh kempen bermula 22 Jun lepas. 

"Semua permit diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim dan tiada permohonan ditolak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kesemua 57 anggota polis yang terlibat dengan undi pos telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di pejabat pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari, semalam.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan