WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEGAWAI IMIGRESEN, TIGA LELAKI DIDAKWA SELUDUP ENAM WANITA VIETNAM

03/07/2024 04:04 PM

TAIPING, 3 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai Imigresen antara empat lelaki didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup enam wanita warga Vietnam, Mac lepas.

Bagaimanapun, Abdul Hadi Mat Din, 42, bersama dua lelaki tempatan Teoh Boon Poh, 58, Chua Eng Keong, 47, dan seorang warga Thailand Sukree Awang, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta berbayar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu dengan niat bersama menjalankan penyeludupan migran melibatkan enam wanita warga Vietnam dalam kejadian pada 11.26 pagi, 9 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin memohon mahkamah suatu tempoh bagi sebutan semula kes kerana perlu menyediakan banyak maklumat iaitu melibatkan empat orang kena tuduh (OKT) yang masing-masing diwakili peguam berbeza.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan mana-mana pihak yang ingin membuat permohonan jaminan perlu dilakukan sebelum tarikh tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan