WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LELAKI MENGAKU TIDAK BERSALAH LAKUKAN KHIANAT API

03/07/2024 04:14 PM

ALOR GAJAH, 3 Julai  (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini, atas dakwaan melakukan khianat dengan api pada awal Jun lepas.

Yew Weng Dong, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah motokar jenis Perodua Alza milik Lim Fei Chin, 35, di sebuah rumah di Taman Mengkuang Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Jun lepas sekitar 3.30 pagi dan menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM8,281.82.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan juga dikenakan denda.

Hakim Nariman Badruddina memerintahkan Yew diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa atau saksi sepanjang kes berjalan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Ogos untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh diwakili peguam Dan Francis.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai mengambil upah daripada sindiket Along di Singapura, untuk melakukan kes khianat menggunakan bom petrol buatan sendiri.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat di Singapura menerima bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan khianat bom petrol.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan