WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FORUM MADANI GLOBAL 2024, BINCANG STRATEGI KEMBALIKAN KEGEMILANGAN TAMADUN ISLAM - IKIM

04/07/2024 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Forum MADANI Global 2024 pada 10 dan 11 Julai ini antara lain bagi membincangkan strategi ke arah mengembalikan semula era kegemilangan ketamadunan Islam.

Ketua Pengarah IKIM Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata program dari 9 pagi hingga 5 petang itu akan disertai pakar ketamadunan Islam dari seluruh dunia.

"2024 menyaksikan 100 tahun kejatuhan empayar Uthmaniyah. Apabila jatuhnya empayar itu, negara-negara Islam keluar untuk mencapai kemerdekaan dan membentuk negara masing-masing dan dalam masa sama berlakunya banyak konflik.

"Kita juga menyaksikan isu Palestin hingga hari ini tidak selesai, jadi kita mengambil semangat Tahun Baharu Hijrah pada Ahad ini untuk anjurkan forum ini sebagai platform membincangkan bagaimana negara Islam dalam tempoh 100 tahun akan datang dapat bangkit untuk menguasai balik dunia," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Mohamed Azam berkata forum tersebut turut memberi fokus ke arah pengantarabangsaan gagasan Malaysia MADANI.

"Perkataan MADANI itu sendiri membawa maksud lebih besar dalam aspek ketamadunan. Alhamdulilah, dunia Islam dan penduduk Islam di mana-mana di dunia ini mereka tengok Malaysia, kepimpinan negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak memberi kesan kepada masyarakat dan negara Islam,” katanya.

Mengambil semangat Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN tahun hadapan, beliau berkata forum berkenaan turut menjadi platform bagi membincangkan strategi memajukan ketamadunan Islam di peringkat ASEAN.

Dianjurkan bersama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia sebagai penaja utama, program itu bakal menghimpunkan sejumlah pembicara termasuk ahli akademik, wakil kerajaan, penggubal dasar, diplomat dan aktivis.

Rakan usahasama program tersebut yang lain ialah International Institute of Islamic Thought, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Institut Darul Ehsan, Majlis Da’wah Islam Serantau Asia Timur dan Pasifik dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

"Disebabkan tempat yang terhad kepada 1,000 peserta, kami juga akan berusaha membolehkan peserta menyertai forum ini secara dalam talian melalui siaran langsung di beberapa platform sepanjang penganjuran selama dua hari itu," katanya.

Tambahnya Perdana Menteri dijadual hadir menyampaikan ucapan khas sempena majlis perasmian pada hari kedua forum di Hotel Sunway Putra di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan