WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISIS PERLU TAMBAH BILANGAN PERSIDANGAN, PENYELIDIKAN YANG BOLEH JANA PENDAPATAN

04/07/2024 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Organisasi penyelidikan autonomi yang tidak berasaskan keuntungan, Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia perlu menambah bilangan penyelidikan dan persidangan serta penerbitan yang boleh menjana pendapatan syarikat itu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 Siri 2 memaklumkan, ISIS Malaysia juga perlu membuat perancangan yang lebih terperinci dan memantau pelaksanaannya.

Semakan audit bagi 2022 mendapati, penurunan 20 peratus bagi penyelidikan dan 28.6 peratus bagi persidangan berbanding 2021, manakala bagi 2023, bilangan persidangan menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan kali (25.7 peratus) namun bilangan penyelidikan masih menunjukkan trend penurunan sebanyak 13 kali (65 peratus) berbanding 2022.

“Pencapaian bilangan penyelidikan dan persidangan secara keseluruhannya kurang memuaskan, kerana bilangan penyelidikan menunjukkan trend penurunan walaupun bilangan persidangan meningkat.

“Trend penurunan bilangan penyelidikan disebabkan oleh pengurangan permintaan dan penajaan, telah menjejaskan reputasi ISIS Malaysia,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, objektif penubuhan ISIS Malaysia untuk menjalankan penyelidikan dan mengemukakan pandangan kepada kerajaan serta penganjuran persidangan di peringkat nasional dan antarabangsa telah tercapai, amalan tadbir urus korporat adalah baik dan kedudukan kewangan adalah stabil.

“Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh ISIS Malaysia adalah baik kerana telah diguna pakai sebagai input oleh kementerian atau jabatan yang mengawal selia,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan