WILAYAH - UTARA > BERITA

KOMUNITI INDIA TERIMA TAMBAHAN RM130 JUTA DALAM TEMPOH EMPAT BULAN - RAMANAN

05/07/2024 12:13 AM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan tambahan RM130 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini, dalam tempoh empat bulan lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata ini meliputi tambahan RM50 juta bagi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan RM30 juta untuk Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Beliau berkata selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“SPUMI sejak 2008 hingga 2024, tidak pernah ada penambahan dana. Namun, hari ini kerajaan memperuntukkan RM60 juta (secara keseluruhan) untuk SPUMI.

“Sebelum ini dana untuk usahawan wanita India (PENN) hanya RM20 juta tetapi hari ini Kerajaan MADANI bagi RM70 juta iaitu tambahan RM50 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Komuniti Usahawan India di sini malam ini.

Ramanan berkata hanya Kerajaan Perpaduan dan Anwar yang prihatin memberikan peruntukan yang besar kepada masyarakat India di Malaysia, berbanding kerajaan terdahulu.

Justeru beliau meminta kaum India untuk memanfaatkan peruntukan yang dikhaskan kepada mereka itu, supaya tidak ada golongan yang akan tercicir.

Sementara itu, Ramanan berkata seramai 25,559 usahawan masyarakat India telah mendapat pembiayaan di bawah Skim SPUMI bernilai RM45.7 juta di seluruh negara sejak 2008 hingga Mei, termasuk RM31.5 juta kepada 1,698 usahawan India di Pulau Pinang.

Mengenai Skim SPUMI Goes Big pula, beliau berkata 67 permohonan bernilai RM2.78 juta daripada 106 permohonan diterima sejak dilancarkan pada 3 April telahpun diluluskan, manakala 30 permohonan masih sedang di proses.

“Semua penambahbaikan skim tersebut merupakan langkah bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, sekali gus merealisasikan transformasi sosioekonomi negara,” katanya.

Ramanan juga berkata Kerajaan Perpaduan kini sedang melakukan perubahan besar untuk masyarakat India, dengan terus melaksanakan pelbagai inisiatif serta program bagi kaum minoriti tersebut.

Terdahulu, Ramanan meninjau Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan di Kampung Lima Kongsi, Sungai Bakap yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan