WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TEROKAI SUNGAI KUANTAN BERSAMA APM DI MADANI RAKYAT ZON TIMUR

05/07/2024 07:26 PM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Hanya dengan menjawab soalan mudah mengenai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pengunjung bertuah berpeluang menelusuri Sungai Kuantan menaiki bot sejauh kira-kira 500 meter sempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan PA Zahidi Zainudin berkata pihaknya membuka peluang kepada pengunjung merasai pengalaman menerokai keindahan alam  di sungai berkenaan dengan bot APM kepada pengunjung yang berjaya menjawab soalan di reruai APM bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“Mereka hanya perlu menjawab soalan mengenai APM sekali gus diberikan kupon untuk menaiki bot. Ini satu pengalaman menarik kepada pengunjung yang datang ke Program MADANI Rakyat Zon Timur,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata aktiviti yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat itu bertujuan meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang APM di samping memberi pengalaman kepada pengunjung melihat Sungai Kuantan secara dekat. 

Bagi tujuan ini, Zahidi berkata dua jenis  bot disediakan iaitu bot aluminium dan bot rigid inflatable boat (RIB) bersama seorang sebagai pemandu arah dan pengendali bot selain pengunjung juga akan dilengkapi dengan jaket keselamatan. 

Program MADANI Rakyat Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Program MADANI Rakyat Zon Timur anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KKDW dan kerajaan Pahang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan