WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT BERTEMU RAKAN SEJAWAT DARI BANGLADESH

05/07/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen Bangladesh Dr Shirin Sharmin Chaudhury yang kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia bermula semalam hingga Ahad ini.

Parlimen Malaysia menerusi kenyataan di sini hari ini memaklumkan pada pertemuan itu, Johari dan Shirin Sharmin membincangkan beberapa perkara dan isu yang menjadi perhatian kedua-dua belah pihak. 

Ini termasuk kemasukan tenaga kerja asing ke Malaysia, pembangunan teknologi digital dan kepentingan kerjasama antara kedua-dua negara menerusi platform seperti ASEAN serta krisis pelarian etnik Rohingya.

"Shirin Sharmin juga menyentuh mengenai kepentingan Kumpulan Persahabatan Parlimen yang boleh membincangkan dengan lebih terperinci perkara dan isu dibangkitkan," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, Shirin Sharmin dan delegasinya turut diberikan taklimat mengenai pelaksanaan sistem e-Parlimen dan dibawa melawat ke Dewan Rakyat serta sekitar pekarangan Parlimen.

Kenyataan itu turut menyatakan lawatan rasmi berkenaan akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama khususnya daripada cabang legislatif antara kedua-dua negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan