WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALINA BATIK ZAHIR KISAH BANDAR BERSEJARAH MENERUSI BATIK MELAKA

20/09/2024 03:59 PM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 20 Sept (Bernama) -- Alina Batik yang sinonim dengan pengeluaran Batik Melaka di bawah syarikat Legasi Sutera Emas bukan sekadar seni atau kreativiti yang dicanting atas sehelai tekstil namun setiap penghasilan karya berkenaan mempunyai cerita yang menggambarkan negeri Melaka.

Pemilik dan pengasas syarikat berkenaan Mohammad Bakhtiar Aman,51, berkata penggunaan elemen atau corak pada batik berkenaan melambangkan identiti negeri itu seperti bunga rasmi, bangunan bersejarah atau ikonik dan kebudayaan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Melaka.

Beliau berkata keunikan karya batik berkenaan secara tidak langsung mempromosikan Melaka kepada  pelancong tempatan dan luar negara selain memperkenalkan pelbagai destinasi menarik terutama sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). 

"Batik lebih sinonim dengan negeri pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan namun Melaka juga mempunyai batiknya sendiri yang menggambarkan identiti negeri itu, antaranya bunga Kesidang yang merupakan bunga rasmi Melaka, beca Melaka, bangunan Stadthuys, Masjid Selat, Kota A Famosa, tepak sireh, kipas tangan dan sebagainya.

"Batik Melaka terbahagi kepada tiga segmen atau produk utama iaitu Kanda meliputi kameja lengan pendek dan panjang, Dinda (kain ela, baju kurung siap jahit, baju kelawar dan selendang) manakala Melaka Memori pula melibatkan kit mewarna batik," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui di Galeri Alina Batik yang turut dijadikan studio pembuatan Batik Melaka di Taman Paya Rumput Perdana  yang diusahakan bersama isterinya Dr Mislina Atan @ Mohd Salleh, 47.

Mohammad Bakhtiar berkata kesemua proses pembuatan Batik Melaka dilakukan di studio mereka menggunakan empat kaedah iaitu mencanting, blok, sutera saring dan 'tie and dye'. 

Beliau berkata perusahaan batik berkenaan bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 secara kecil-kecilan di belakang rumah mereka berhampiran galeri dan studio sedia ada sebelum ditawarkan menyewa di Pusat Inkubator Kraf Alor Gajah selama setahun bermula 2022 menggunakan sepenuhnya modal sendiri.

Pelbagai cabaran dihadapi bersama isteri sepanjang mengembangkan perniagaan berkenaan serta mendapat kepercayaan pelanggan sebelum mereka kini mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan individu, agensi kerajaan dan swasta.

"Kami tiada asas perniagaan yang kukuh dan masing-masing daripada latar belakang berbeza tetapi disebabkan 'passion' yang mendalami terhadap industri batik maka perlahan-lahan kami belajar dan perbaiki segala kelemahan untuk mengukuhkan jenama Alina Batik dan kini kami bernaung di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

"Kini selain penghasilan batik, kami juga terlibat secara aktif mendidik dan memberi pendedahan tentang pembuatan Batik Melaka kepada pelajar sekolah, syarikat swasta, agensi kerajaan atau individu yang berminat menerusi segmen Melakar Memori sekali gus mengimbau kenangan mereka tentang Melaka," katanya.

Sementara itu, Mislina berkata Alina Batik juga diiktiraf Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai perusahaan sosial kerana penghasilan Batik Melaka melibatkan komuniti dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, antaranya tukang jahit dan pembuat bingkai kayu untuk kit batik dan 'soft toys'.

Beliau berkata menerusi peluang itu juga, mereka komited untuk memelihara dan memulihara batik yang merupakan warisan tidak ketara agar dapat diwariskan kepada generasi muda akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata Alina Batik sedang menambah baik model perniagaan daripada pelbagai aspek antaranya cadangan penggunaan teknologi dalam penghasilan Batik Melaka berbanding secara manual selain membina platform dalam talian untuk memasarkan produk batik berkenaan secara lebih meluas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan