WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK MAHKOTA: MAHASISWA BAHARU MENGUNDI DIBENAR DAFTAR LEWAT

20/09/2024 04:47 PM

KLUANG, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kelonggaran mendaftar lewat kepada mahasiswa baharu universiti awam yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sehingga 29 Sept ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata keputusan itu diambil bagi menghormati hak pengundi seperti tertakluk dalam Perlembagaan, mengambil kira hari pengundian bagi PRK itu ditetapkan pada 28 Sept ini. 

“Ketetapan dibuat hasil perbincangan KPT bersama 12 universiti awam sebagai usaha memberi kemudahan untuk mahasiswa baharu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zambry berkata mahasiswa yang terlibat boleh berhubung terus dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing untuk memaklumkan status sebagai pengundi di PRK DUN Mahkota.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasioanal (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan