WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN IBRAHIM BERKENAN NAMAKAN KURSI PENGAJIAN MELAYU DI BFSU ATAS NAMA BAGINDA

21/09/2024 12:20 PM

Daripada Suriati Sidek Ahmad

BEIJING, 21 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu yang terletak di Beijing Foreign Studies Universiy (BFSU) dengan nama Seri Paduka Baginda iaitu Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim sedang dalam Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping, dari 19 hingga 22 Sept.

Majlis penamaaan Kursi itu diadakan pada majlis santapan Seri Paduka Baginda bersama diaspora Malaysia di China, di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, KPT dalam kenyataan memaklumkan Kursi akademik yang dimiliki Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu telah ditubuhkan pada 2007 di BFSU, bagi mengiktiraf peranan universiti berkenaan yang konsisten dalam usaha pengembangan Bahasa Melayu di negara China.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa BFSU merupakan universiti pertama menawarkan kursus bahasa Melayu di China seawal pada 1962, dengan mendiang Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.

“Sehingga kini terdapat 17 buah institusi pendidikan tinggi China yang menawarkan kursus pembelajaran Bahasa Melayu, sekali gus menunjukkan Bahasa Melayu terus mendapat tempat di hati penutur jati Bahasa China.

“Penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim ini, bertepatan dengan keakraban hubungan persahabatan Malaysia dan China, yang telah terjalin sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“la juga melakar sejarah baharu dalam meraikan sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang telah termeterai pada 31 Mei 1974,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi  Datuk Prof Dr Azlinda Azman yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke majlis tersebut berkata Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim itu, satu manifestasi yang menterjemahkan sokongan institusi Raja-Raja Melayu kepada usaha pengantarabangsaan Bahasa Melayu di persada dunia.

Azlinda berkata beliau menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda yang berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu tersebut dengan nama Seri Paduka Baginda.

Sementara itu Presiden BFSU Prof Jia Weijian dalam kenyataan sama, menzahirkan rasa gembira beliau dan warga BFSU dengan penamaan nama baharu Kursi tersebut.

Beliau berkata nama baharu itu akan menjadi pembakar semangat BFSU, dalam mengekalkan momentum usaha-usaha pengembangan bahasa Melayu di bumi China.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, satu penghormatan kepada usaha BFSU bersama 16 institusi pendidikan tinggi China yang lain, dalam mengembangkan dan memartabatkan Bahasa Melayu di seluruh China.

“Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU China merupakan Kursi Akademik keempat ditubuhkan KPT, di samping Kursi Pengajian Melayu di negara lain antaranya Ohio University di Amerika Syarikat (1979), Leiden University di Belanda (1991), Victoria University di New Zealand (1995) dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan (2005),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan