WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PESARA RUGI LEBIH RM134,000 TERPEDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

21/09/2024 01:33 PM

KUANTAN, 21 Sept (Bernama) -- Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian lebih RM134,000 selepas terpedaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi media sosial. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 65 tahun itu pada mulanya berminat untuk menyertai skim pelaburan saham di Facebook yang menawarkan keuntungan lumayan dalam waktu singkat.

Beliau berkata sindiket itu menjanjikan setiap pelaburan berjumlah RM300 akan diberikan pulangan sebanyak RM10,000 dalam masa enam jam. 

“Mangsa kemudiannya telah membuat pemindahan wang simpanan berjumlah RM134,165 dengan 20 kali transaksi ke lapan akaun bank berbeza diberikan suspek bermula 10 Sept hingga Khamis lepas," katanya dalam kenyataan media. 

Beliau berkata mangsa yang tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan dan mengesyaki diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.  

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan. 

Masyarakat diingatkan menyemak nombor akaun dan telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan