WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TH DUKUNG ASPIRASI KERAJAAN, TINGKAT UPAYA PENDUDUK MENERUSI PROGRAM SANTUNI MADANI

21/09/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) komited mendukung aspirasi kerajaan menerusi Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin, Satu Kampung sebagai usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman mengumumkan bahawa Kampung Dato’ Sri Amar Diraja, Muar di Johor terpilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah kelolaan TH.

Beliau berkata TH akan bekerjasama dengan jawatankuasa kampung dan pihak berkuasa tempatan merangka program bersesuaian serta mengenal pasti isu setempat bagi meningkatkan keselesaan, kemudahan dan taraf hidup penduduk di situ.

“Alhamdulillah, sebagai permulaan, sukarelawan Tabung Haji (TH) bersama penduduk Kampung Dato’ Sri Amar Diraja telah membersihkan balai raya dan surau Ar-Raudah. Inisiatif ini bertujuan memberikan lebih keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti rohaniah dan jasmaniah secara berterusan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan TH.

Satu majlis perasmian dan penyampaian sumbangan di kampung itu telah diadakan dan disempurnakan Syed Hamadah, yang turut disertai barisan pengurusan serta sukarelawan daripada kalangan anggota TH.

Selain itu, pelbagai pengisian menarik diadakan semasa majlis tersebut, termasuk perkhidmatan khas kaunter bergerak Tabung Haji (TH) dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan Daerah Muar, khusus untuk penduduk kampung.

“TH juga telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada Pusat Jagaan Bakti Murni dan Surau Ar-Raudah bagi membantu menampung kos pengurusan dan penambahbaikan kemudahan yang diperlukan,” kata Syed Hamadah.

Menurut beliau Program Santuni MADANI TH 2024 yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah platform terbaik buat TH mendekati dan mengeratkan lagi ukhwah dengan masyarakat kampung terutama golongan yang memerlukan.

“Ia juga selari dengan satu daripada teras Malaysia MADANI yang menggalakkan sifat ‘Ihsan’ dalam kalangan masyarakat.

“Insya-Allah TH akan meneruskan usaha murni ini agar lebih ramai lagi masyarakat Kampung Dato’ Sri Amar Diraja Muar yang boleh kita dekati dan bantu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan