WILAYAH - UTARA > BERITA

BANJIR DI PULAU PINANG PULIH, LIMA PPS TERAKHIR DITUTUP

21/09/2024 02:41 PM

TASEK GELUGOR,  21 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang pulih sepenuhnya daripada banjir setelah penutupan lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir, menempatkan 259 orang, pada pagi ini.

Keadaan cuaca yang baik dan cerah tanpa hujan sejak semalam telah menyebabkan air banjir, yang melanda rumah penduduk sejak hari Selasa, surut sepenuhnya hari ini.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, semua mangsa dari 72 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), dan Seberang Perai Selatan (SPS) telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Pemeriksaan dan pemantauan oleh pihak berkuasa mendapati air banjir telah surut dan keadaan di tiga daerah tersebut telah pulih sepenuhnya. Mangsa-mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah pagi ini," menurut laporan itu.

Sehubungan itu, tiga PPS di SPU—Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting—serta satu PPS di SPT (Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering) dan SPS (Dewan MPKK Sanglang) ditutup secara berperingkat pada pagi ini.

Sejak Selasa lepas, lebih 700 mangsa banjir di tiga daerah di Pulau Pinang dipindahkan ke 11 PPS di negeri itu selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat dan angin kuat, malah puluhan rumah rosak  manakala ratusan pokok tumbang dalam kejadian angin kuat tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan