WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM PENYUMBERAN MAYA MATRADE DI MIHAS 2024 CAPAI JUALAN RM347 JUTA

21/09/2024 03:09 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 dianggap berjaya, selepas segmen mayanya meraih jualan RM347 juta setakat ini. 

MATRADE berkata sasaran keseluruhan untuk INSP ialah RM1.7 bilion dalam potensi jualan.

“INSP tahun ini telah menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pembeli dari pelbagai pasaran global seperti China, Taiwan, Arab Saudi, Korea Selatan, Mexico, Hong Kong, Poland dan negara-negara lain.

“Melalui platform inovatif ini, pembeli antarabangsa mampu memperoleh pelbagai jenis produk yang disahkan halal seperti barangan pertanian, farmaseutikal, kosmetik dan minuman.

“Ini menggariskan kejayaan strategi MATRADE dalam memanfaatkan platform digital serta fizikal untuk meningkatkan hubungan perdagangan antarabangsa dan memartabatkan sektor halal Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

INSP, yang beroperasi secara maya dari 15 Feb hingga 30 Nov, 2024 termasuk dengan acara fizikal pada 18 Sept 2024 (semasa acara MIHAS 2024), telah menunjukkan kejayaan dan keberkesanannya sebagai platform padanan perniagaan. 

“Sebagai sebahagian daripada MIHAS 2024, program INSP menyasarkan untuk memudahkan lebih 3,000 mesyuarat perniagaan, mengumpulkan 330 pembeli dari 53 negara merangkumi 20 pembeli premium yang mewakili syarikat dengan gabungan hasil tahunan berjumlah RM332 bilion.

“Pembeli-pembeli ini, yang kebanyakannya telah menjalin hubungan jangka panjang dengan pembekal Malaysia, memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan eksport halal Malaysia,” katanya.

INSP tahun ini telah menghimpunkan pembeli daripada pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal serta logistik, yang mencerminkan trend global dalam ekonomi halal.

“Makanan dan minuman, yang menyumbang 38.3 peratus daripada produk yang dipamerkan, terus menguasai pasaran, manakala sektor lain seperti kosmetik serta farmaseutikal yang diperakui halal semakin mendapat momentum, didorong oleh peningkatan permintaan pengguna terhadap produk yang dihasilkan secara beretika dan mengikut syarak,” katanya.

MIHAS 2024 dianjurkan oleh MATRADE serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Acara ini diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

 

Usahawan tempatan dan luar negara mendapat manfaat daripada MIHAS 2024

 

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kejayaan INSP terletak pada keupayaan MATRADE untuk memupuk perkongsian bermakna antara pembekal Malaysia dan pembeli antarabangsa. 

“Banyak kerjasama ini telah berkembang menjadi hubungan jangka panjang, dipupuk melalui rangkaian 49 pejabat antarabangsa MATRADE,” katanya.

Antara peserta INSP ialah Pengarah Urusan Kumpulan Raedial Holdings Ltd, Uwadiale Agenmonmen dari Nigeria, sebuah firma yang menumpukan kepada pengimportan minyak sawit mentah dan peralatan yang berkaitan dengan sektor perladangan kelapa sawit ke negara itu.

Beliau berkata Malaysia terkenal dengan kepakarannya dalam sektor kelapa sawit serta terdapat sejarah panjang antara Nigeria dan Malaysia mengenai minyak sawit termasuk bagaimana ia dibawa masuk ke Nigeria pada masa lalu.

“Pengalaman ini penting bagi kami, kerana kami tahu produk buatan Malaysia adalah berkualiti.

“Dari segi perdagangan, kami mendapati MATRADE sangat menyokong dan responsif, yang memberikan kami banyak keselesaan apabila berurusan dengan penjual asing,” katanya kepada Bernama.

Ini kali pertama beliau menghadiri MIHAS dan berpendapat ia memberikan pengalaman yang luar biasa kepadanya.

“Terdapat komuniti yang signifikan di Nigeria yang menggunakan produk halal. Saya menganggarkan bahawa kira-kira 40 peratus penduduk Nigeria iaitu sekitar 245 juta orang, menggunakan pelbagai jenis produk seperti ini. Permintaan itu ada, itulah sebabnya saya di sini. 

“Kehadiran dan penglibatan adalah sangat produktif. Saya merancang untuk menghadirinya setiap tahun bagi membina hubungan dengan bakal penjual selain mengekalkan yang sedia ada. Ia adalah acara yang sangat teratur. Malaysia adalah tempat yang mesra dan kami tidak sabar untuk mengambil bahagian lagi menjelang tahun depan,” tambahnya.

Salah seorang pengeksport Malaysia, Azfar Ikhwan, yang syarikatnya beroperasi dalam segmen produk makanan dan minuman sejak 2018 berkata program MATRADE membolehkan usahawan seperti beliau mendapat manfaat daripada inisiatif seperti pameran perdagangan dan geran untuk perdagangan antarabangsa.

“Penyertaan kami di MIHAS tahun ini adalah disebabkan ia merupakan pameran halal antarabangsa yang terbesar di dunia.

“Kami memahami kepentingan untuk mempamerkan produk halal, lebih-lebih lagi kerana saya mempunyai pengalaman menghadiri acara antarabangsa, yang mana standard halal adalah berbeza-beza. Di Malaysia, kami bertuah kerana mempunyai kerajaan yang menyokong segmen perniagaan ke perniagaan (B2B), yang penting bagi pertumbuhan perniagaan kami,” katanya.

Tambahan pula, beliau berkata INSP menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dengan pembeli antarabangsa yang dibawa masuk oleh MATRADE.

“Ini adalah peluang yang baik untuk syarikat Malaysia seperti kami mengembangkan produk ke peringkat antarabangsa," katanya.

“Saya percaya MATRADE telah menunjukkan peningkatan setiap tahun. Sebagai contoh, susun atur gerai dan persembahan di MIHAS telah berkembang secara positif. Perubahan baru-baru ini dalam penjadualan untuk acara INSP membolehkan pembeli memberi tumpuan lebih kepada gerai, yang meningkatkan pengalaman keseluruhan,” tambahnya.

 

(Penafian: Ini merupakan advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab untuk kandungan, ketepatan dan pendapat yang dibawa dalam artikel.)

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan