WILAYAH - SABAH > BERITA

KOMUNITI MARITIM DINASIHAT TINGKAT KESELAMATAN DI LAUT, WASPADA CUACA TIDAK MENENTU

21/09/2024 03:39 PM

TAWAU, 21 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihatkan komuniti maritim di perairan daerah ini agar meningkatkan aspek keselamatan ketika di laut serta berwaspada terhadap sebarang perubahan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata nasihat itu berdasarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang bermula 24 Sept ini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

"Ramalan itu dijangka berlanjutan sehingga awal November ini dan melibatkan kawasan termasuk sekitar pedalaman dan pantai barat Sabah yang boleh menyebabkan keadaan angin kuat serta laut bergelora, sebab itu aspek keselamatan di laut perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Cuaca sebegini boleh mendatangkan bahaya kepada aktiviti komuniti maritim seperti perahu kecil, pengusaha bot penumpang serta pengusaha sektor perikanan dalam negeri, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata aset ronda Maritim Malaysia juga bersiap sedia diatur gerak untuk memberi bantuan bagi sebarang situasi atau insiden di laut.

Katanya komuniti maritim boleh menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) MaritimZon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan MERS 999 untuk laporan insiden di laut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan