WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERNAS SASAR PEMBIAYAAN FRANCAIS RM4 JUTA DI SABAH TAHUN INI - EWON

21/09/2024 08:01 PM

KOTA KINABALU, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), menyasarkan pembiayaan usahawan francais RM4 juta di Sabah tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata setakat ini, PERNAS membiayai 69 usahawan di Sabah sejak 2009 dengan nilai pembiayaan sebanyak RM12.7 juta. 

“Industri francais di Sabah dilihat  berkembang positif dan saya bangga kerana terdapat pelbagai jenama francais home-grown Sabah membuktikan jenama tempatan juga mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa yang lain," katanya ketika berucap merasmikan Karnival PERNAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Beliau berkata jenama tempatan Sabah perlu diangkat dan dibawa ke persada global menerusi peluang yang disediakan oleh KUSKOP dan PERNAS untuk membangunkan perniagaan melalui akses kepada pasaran, bantuan serta bimbingan.

Karnival itu menyaksikan lebih 100 usahawan dan pempamer terdiri daripada usahawan francais, prafrancais serta usahawan tempatan mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraf tangan dan produk tradisional.

Turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman antara PERNAS dan Serai Group Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan perniagaan, pengembangan pasaran serta inisiatif sokongan keusahawanan. 

Ewon juga berkata KUSKOP memperkenal Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan untuk golongan pesara dan veteran.

Beliau berkata melalui program itu, PERNAS memperuntuk pembiayaan RM3 juta yang dijangka mampu melahirkan 200 usahawan baharu dan mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan. 

Ewon berkata program itu menyasarkan golongan pesara daripada badan beruniform, kerajaan, agensi korporat dan swasta, atau yang menerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS) serta Skim Pemisahan Wajib (MSS).

"Melalui program ini, peserta akan menerima bantuan pembiayaan, bimbingan, latihan dan khidmat nasihat daripada PERNAS," katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan