WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMAIN SAYA DAHAGAKAN KEMENANGAN, BUKAN MENANG NASIB - YUSRI

22/09/2024 08:38 AM

IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, menolak dakwaan bahawa kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Perak malam tadi adalah kerana nasib semata-mata.

Yusri, yang berasal dari Perlis, menegaskan bahawa tiga mata berharga tersebut diperoleh melalui usaha keras dan komitmen pemainnya.

“Kami menghormati KL City, namun seperti yang saya katakan sebelum ini, fokus kami adalah untuk meraih tiga mata penuh. Pemain bekerja keras selama hampir 90 minit untuk mencapai kemenangan ini.

“Di atas kertas, KL City mempunyai kelebihan dengan pemain-pemain berpengalaman, tetapi anak buah saya berjaya mengekang serangan mereka dan mencipta kemenangan. Saya berikan kredit penuh kepada pemain atas usaha mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, jaringan Luka Milunovic pada minit ke-62 memastikan kemenangan 1-0 The Bos Gaurus ke atas Juara Piala Malaysia 2021, sekali gus meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan FC minggu lalu.

“Kami berharap pemain tidak hilang fokus atau terlalu selesa dengan dua kemenangan ini. Minggu depan, kami akan berkunjung ke Pahang dan sasaran kami tetap tiga mata penuh.

“Sri Pahang FC telah menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan sebelum ini, jadi kami akan memastikan semua pemain bersedia sepenuhnya untuk mengelak kesilapan yang memudahkan lawan menjaringkan gol,” tambahnya.

Sementara itu, jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac mengakui bahawa ketiadaan beberapa tonggak utama, termasuk Paulo Josue dan Hakimi Azim Rosli, memberi kesan kepada prestasi pasukannya.

“Kami menjangkakan perlawanan sukar tanpa kehadiran mereka. Saya terpaksa merombak kesebelasan utama dengan menurunkan pemain yang kurang biasa dengan posisi tersebut, dan walaupun kami ada peluang untuk menjaringkan gol, mungkin kerana itu bukan posisi semulajadi mereka, kami gagal memanfaatkannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan