WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KELUARGA RESAH SABARI HILANG MASUK MINGGU KETIGA

22/09/2024 07:56 PM

BALING, 22 Sept (Bernama) -- Keluarga kepada Sabari Baharom, 62, yang dilaporkan hilang sejak 3 Sept lepas semakin resah berikutan masih belum ada sebarang perkembangan kehilangan warga emas itu yang kini masuk minggu ketiga.

Anak sulungnya, Suraiya Izzaty Sabari, 29, berkata sejak bapanya disyaki hilang selepas gagal dihubungi, usaha mencari dan mengesannya masih menemui jalan buntu.

"Kami sekeluarga berharap agar tiada perkara buruk yang berlaku terhadap ayah. Kami harap (jika melibatkan orang lain) mereka pulangkan kembali ayah kami dalam keadaan selamat.

"Ayah tiada musuh dan dia tidak sebut pun ada masalah kerana selalunya ayah akan beritahu kami adik-beradik jika ada masalah kewangan atau sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita di rumah ayahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di sini hari ini.

Suraiya Izzaty berkata pada mulanya mereka menyangka bapanya berkunjung ke rumah kawan atau saudara mara atau pergi ke negara jiran bersama rakan baiknya tetapi semua sangkaan itu meleset.

Dia berkata satu laporan polis dibuat pada 7 Sept lepas memaklumkan mengenai kehilangan bapanya sebelum adik-beradiknya dipanggil ke balai bagi memberikan keterangan pada keesokan hari. 

Suraiya Izzaty berkata pada 12 Sept hebahan orang hilang telah dibuat oleh polis namun tiada perkembanganhingga penemuan sebuah kereta yang hangus di kawasan Pulau Belantik, Sik.

“Pada Jumaat lepas kami dimaklumkan bahawa kereta yang terbakar iaitu jenis Proton Waja itu adalah kereta milik ayah.

“Kami turut mendapat maklumat mengenai pengeluaran wang dalam jumlah yang agak besar melibatkan satu daripada akaun bank ayah sedangkan wang di situ ayah simpan cukup-cukup untuk dia menunaikan ibadah haji,” katanya.

Suraiya Izzati berkata bapanya yang merupakan bekas pegawai kewangan dan seorang yang amat teliti berhubung pengeluaran wang serta tidak gemar bermewah.

“Hidup ayah biasa-biasa sahaja malah rutinnya selepas pencen akan solat berjemaah di masjid, sarapan bersama jemaah di kedai sebelum pergi menjengah kebun. Kami sering berhubung, jadi bila dia hilang tiba-tiba kami tiga beradik gusar dan berharap ayah pulang dalam keadaan selamat," katanya.

Laporan media menyatakan Sabari dipercayai keluar dari rumahnya pada malam 3 Sept lepas dengan menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna emas dan sejak itu tidak pulang ke rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan