WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPM AHMAD ZAHID UCAP TAHNIAH KEPADA SZE FEI-NUR IZZUDDIN JUARAI TERBUKA CHINA

22/09/2024 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atas kejayaan menjuarai kejohanan badminton Terbuka China.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid  menyifatkan kemenangan ke atas pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi final hari ini sebagai suatu yang bukan mudah untuk digapai dan ia harus diraikan oleh semua peminat sukan badminton negara, apatah lagi mereka berdepan dengan lawan yang merupakan pilihan kelima.

"Kemenangan ini merupakan pencapaian sulung Goh Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang gelaran dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000," katanya.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang tewas 13-21 di set pertama bangkit untuk menang dua set berikutnya 21-12, 21-17 ke atas lawan di ranking ketujuh dunia itu sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$148,000 (RM622,361).

Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai atas persembahan yang hebat walaupun tewas di tangan pasangan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21 untuk bergelar naib juara.

Ahmad Zahid berharap perlawanan tersebut dapat menjadi penguat semangat kepada beregu campuran negara itu untuk terus berjuang ke peringkat seterusnya.

"Tahniah Malaysia!," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan