WILAYAH - UTARA > BERITA

PENANG PORT JANGKA CECAH 1.5 JUTA TEU MENJELANG AKHIR TAHUN, KATA CEO

23/09/2024 08:15 PM

BUTTERWORTH, 23 Sept (Bernama) -- Penang Port Sdn Bhd dijangka melebihi kapasiti pengendalian kontena sebanyak 1.5 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sasedharan Vasudevan.

Sasaran itu lebih tinggi berbanding 1.44 juta TEU yang dicatatkan pada tahun lepas walaupun syarikat sedang menghadapi pelbagai cabaran seperti krisis geopolitik dan kekurangan kontena sepanjang tahun.

“Krisis Laut Merah menjadi ketara selepas April dan ia memberi impak yang besar kepada kami kerana kami kehilangan kira-kira 20,000 hingga 70,000 kontena dalam tempoh tersebut ,” katanya kepada pemberita dalam satu pembentangan di sini hari ini, sambil menambah Penang Port menanggung kerugian sekitar 50,000-70,000 TEU akibat krisis Laut Merah.

Mengulas mengenai pelan syarikat untuk meningkatkan TEU, beliau berkata syarikat itu mengalihkan tumpuan ke arah pasaran pemindahan kapal Teluk Bengal, yang mempunyai potensi pasaran yang besar, dengan anggaran lapan juta kontena dikendalikan setiap tahun merentasi Bangladesh, Indonesia, India dan Myanmar. 

“Matlamat jangka pendek syarikat agak tinggi tetapi boleh dicapai, kami mahu mengendalikan sekitar 100,000 kontena dalam tempoh terdekat.

“Tahun ini sahaja, syarikat jangka akan memproses antara 30,000 hingga 40,000 kontena, menunjukkan trajektori menaik yang kukuh dalam operasinya,” kata beliau lagi.

Sejak 2021, pasaran pemindahan kapal Teluk Bengal telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 100 peratus, kata Sasedharan, sambil menambah Penang Port mahu memanfaatkan peluang yang berkembang dalam pasaran yang menguntungkan ini.

Penang Port juga melancarkan pelan induk 30 tahun bagi menambah kapasiti pelabuhan yang melibatkan lima fasa.

Pembangunan itu merangkumi peningkatan kapasiti dermaga sebanyak 4.1 juta TEU dan kapasiti limbungan sebanyak 2.9 juta TEU menjelang 2060.

“Kami kini dalam fasa 1A dan kapasiti kami telah melonjak daripada 2.1 juta kepada 2.3 juta TEU selepas peningkatan bernilai RM160 juta Terminal Kontena Butterworth Utara pada Ogos 2020,” kata Sasedharan.

Beliau berkata pelan induk itu menunggu kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan kerajaan.

“Kami belum mendapat sebarang kelulusan lagi tetapi kami telah menyerahkan pelan induk kami kepada kerajaan dan membentangkan (pelan induk) kepada exco negeri Pulau Pinang awal tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan