AM

MELAKA PERLUAS SAMBUTAN BMSS KE PERINGKAT DAERAH PERKASA SEKTOR KESIHATAN MASYARAKAT

14/09/2024 04:22 PM

MELAKA, 14 Sept (Bernama) -- Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) di negeri ini diperluas hingga peringkat daerah menerusi penganjuran pelbagai aktiviti oleh Jabatan Kesihatan Melaka bagi memperkasakan sektor kesihatan masyarakat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata usaha berkenaan juga sebagai menyokong inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat sihat sejahtera menerusi pembudayaan gaya hidup sihat.

"Bagi sambutan peringkat negeri dilaksanakan selama tiga hari bermula semalam (13 Sept) hingga esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dengan melibatkan semua bahagian dan unit dalam Jabatan Kesihatan Melaka yang turut disertai agensi lain.

"Sambutan BMSS ini juga menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan imuniti badan dalam mencegah dan melawan sebarang jangkitan dan penyakit, tetapi juga demi penuaan yang sihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan BMSS dan Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa di sini hari ini.

Ngwe berkata aktiviti BMSS juga memfokuskan enam perkara utama pembudayaan hidup sihat antaranya aktiviti fizikal dan senaman, minda sihat, pemakanan sihat dan selamat, pencegahan tingkah laku berisiko, jaga kebersihan persekitaran dan kebersihan diri serta kawal kesihatan kendiri, saringan kesihatan dan pergigian.

Dalam pada itu, beliau berkata Melaka merupakan destinasi keempat bagi penganjuran Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends dalam usaha memperluas liputan promosi kesihatan bermula seawal usia lima tahun dengan tujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kesihatan khususnya kanak-kanak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan