AM

JABATAN IMIGRESEN SABAH TERIMA TEGURAN KSN TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN

18/09/2024 08:48 PM

KOTA KINABALU, 18 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerima teguran Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang antara lain mahu jabatan itu memberikan perhatian kepada memperkasakan kecekapan operasi sistem kaunter bagi meningkatkan kepuasan pelanggan.

Pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata jabatan itu komited mematuhi arahan daripada ibu pejabat untuk memastikan setiap kaunter beroperasi mengikut masa ditetapkan dan tidak berlaku kesesakan.

“Kita menerima teguran tersebut. Saya pun mendapat arahan daripada pihak pengurusan tertinggi KDN iaitu Ketua Setiausaha yang memaklumkan akan ada satu mesyuarat antara Ketua Pengarah Imigresen dengan Ketua Pengarah Pendaftaran dalam sedikit masa lagi bagi tujuan melihat penambahbaikan kepada perkara disebutkan Tan Sri KSN semalam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, Shamsul Azri menerusi hantaran Facebook menggariskan beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh JIM Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah bagi memastikan perkhidmatan lebih cekap kepada pelanggan.

Perkara itu diketengahkan selepas beliau membuat lawatan mengejut di kedua-dua jabatan itu di sini bagi melihat sendiri operasi harian dan memantau kesiapsiagaan di bahagian kaunter.

-- BERNAMA


 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan