EKONOMI

MAHB CATAT 12 JUTA PENUMPANG PADA OGOS 2024

20/09/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan sebanyak 12 juta penumpang melibatkan rangkaian lapangan terbangnya pada Ogos 2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya ini menandakan rekod trafik untuk bulan kedua berturut-turut dengan kenaikan 9.8 peratus berbanding Ogos 2023, dan mencapai 96.1 peratus daripada paras Ogos 2019.

“Pergerakan penumpang antarabangsa kekal kukuh, dengan merekodkan 6.5 juta penumpang, menunjukkan peningkatan 18.5 peratus berbanding Ogos 2023 dan melepasi paras prapandemik sebanyak 6.1 peratus.

“Lonjakan penumpang ini sebahagian besarnya didorong oleh perjalanan musim panas, pelancaran syarikat penerbangan baharu, pengembangan ke laluan baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan mingguan,” kata kumpulan itu.

MAHB turut mencatatkan 5.8 juta penumpang domestik, peningkatan 1.6 peratus berbanding Ogos 2023, dengan kadar pemulihan 87.1 peratus berbanding 2019.

Menurutnya, di dalam negara, lapangan terbang di Malaysia mengendalikan lebih lapan juta penumpang untuk bulan kedua berturut-turut, dengan pecahan yang sama antara trafik antarabangsa dan domestik.

“Pertumbuhan itu didorong oleh kekerapan penerbangan tambahan dan bermulanya syarikat penerbangan dan laluan baharu, terutama ke destinasi antarabangsa dan daripada destinasi antarabangsa,” katanya.

Menurut MAHB, pasaran antarabangsa utama terutama Indonesia, China dan India adalah penyumbang utama kepada peningkatan trafik pada Ogos.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan