EKONOMI

ANTARA MUKA BAHASA INGGERIS KOMITMEN TAOBAO TERHADAP PASARAN E-DAGANG MALAYSIA 

20/09/2024 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pelancaran 'antara muka (interface) beta bahasa Inggeris' melambangkan komitmen Taobao terhadap pasaran e-dagang Malaysia selain meningkatkan kebolehcapaian dengan menumpukan kepada penyelarasan ciri-cirinya agar lebih mesra pengguna.

Pengurus Negara Taobao Malaysia Jess Lew berkata syarikat itu komited untuk terus menambah baik platform mereka berdasarkan maklum balas pengguna sambil mengembangkan ciri-cirinya bagi memenuhi keperluan pangkalan pengguna yang semakin berkembang. 

“Sepanjang kehadiran kami sejak 2018, kami menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan sama ada kami akan menyediakan pilihan bahasa Inggeris memandangkan ramai pengguna tempatan sama ada tidak bertutur atau tidak fasih bahasa Mandarin.

"Antara muka bahasa Inggeris ini dapat mengatasi halangan bahasa, membolehkan pengguna tempatan meneroka dan membeli-belah dengan lebih mudah dan yakin sambil memperluas akses kepada pelbagai pilihan dan nilai yang tiada tandingan … ," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata Taobao selama ini memberikan tumpuan kepada membina infrastruktur yang kukuh termasuk kerjasama bagi memastikan kecekapan logistik, memperkukuh pilihan pembayaran tempatan  dan menjalankan kempen promosi besar-besaran  seperti Jualan Pertengahan Tahun serta festival beli-belah 9.9 dan 11.11.

Ketika ditanya mengenai ciri-ciri utama antara muka baharu ini, Jess berkata ia merangkumi  penukaran anggaran harga dalam Ringgit Malaysia (RM), penerangan produk terperinci dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), dan mesra pengguna yang disesuaikan dengan corak pembelian tempatan.

“Penambahbaikan ini direka untuk memudahkan keseluruhan proses pembelian daripada pemilihan produk sehingga pembayaran, menjadikannya lebih mudah untuk menyelesaikan urusan pembelian,” katanya.

Kemudahan ini menawarkan kepada pelanggan pilihan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin untuk memastikan komunikasi yang berkesan.

Taobao turut menawarkan penghantaran percuma bagi barangan yang memenuhi syarat perbelanjaan minimum serta memudahkan proses pemulangan untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang bebas kerumitan dan tanpa perlu menghantar produk kembali ke China.

Beliau berkata komitmen syarikat untuk meningkatkan pengalaman e-dagang tempatan juga didorong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Dengan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024, disokong kekukuhan permintaan domestik dan peningkatan pendapatan e-dagang sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024, kami yakin perbelanjaan pengguna akan terus berkembang.

“Menurut Indeks Kecekapan Bahasa Inggeris EF 2023, Malaysia menduduki tempat ketiga di Asia dengan lebih 20 juta penduduk boleh bertutur dalam bahasa Inggeris diikuti Singapura dan Filipina. Ini memberikan peluang besar untuk Taobao meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna yang bertutur dalam bahasa itu.

"Selain itu, ia juga memperlihatkan keperluan untuk aplikasi mudah alih mesra pengguna dengan menawarkan pilihan bahasa bagi memenuhi permintaan segmen beli-belah mudah alih yang berkembang pesat di Malaysia," katanya.

Memandangkan Malaysia kekal sebagai fokus utama untuk operasi Taobao di luar negara, Jess berkata antara muka baharu ini mewakili langkah penting ke arah menyediakan pengalaman membeli-belah dalam talian yang lebih inklusif dan mudah diakses.

Bersempena pelancaran ini, Taobao menawarkan tawaran masa terhad untuk pengguna baharu dengan faedah bernilai RM39 (bersamaan RMB65).

Komitmen berterusan untuk menyempurnakan pengalaman pengguna dan menawarkan suasana membeli-belah yang terbaik dijangka memainkan peranan penting untuk kejayaan berterusan Taobao dalam kepesatan pasaran e-dagang Malaysia. 

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini)


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan