AM

BANJIR: PM ANWAR KUNJUNGI TIGA PUSAT PEMINDAHAN DI KEDAH HARI INI

21/09/2024 09:34 AM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual mengunjungi tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Kedah.

Dalam lawatan singkat tersebut, Anwar akan meninjau situasi banjir di negeri itu dengan mengunjungi PPS Stadium Sultan Abdul Halim, diikuti PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan seterusnya ke PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi ini ketiga-tiga PPS tersebut menempatkan seramai 1,349 mangsa daripada 467 keluarga dari daerah Kota Setar.

Bagi keseluruhan Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di 42 PPS di enam daerah meningkat kepada 7,494 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 6,760 orang pada 8 malam tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Perdana Menteri akan turun ke Kedah hari ini bagi meninjau situasi terkini banjir.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan ke PPS di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan