AM

PULANG DARI BERCUTI, FENOMENA AIR PASANG SUMBANG PENINGKATAN MANGSA BANJIR DI PPS

21/09/2024 08:11 PM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Pulang daripada bercuti dan fenomena air pasang adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, kata Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk Aminurrahim Mohamed.

Beliau berkata walaupun hujan sudah berkurangan dan cuaca semakin baik, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat terutama di daerah Kota Setar.

"Kedah merupakan antara negeri yang paling teruk dilanda banjir dengan jumlah mangsa yang tinggi iaitu hampir 8,000 orang dan kita melihat situasi kali ini sedikit berbeza... kemungkinan disebabkan oleh penduduk yang baharu pulang ke rumah selepas bercuti sempena musim cuti sekolah.

"Apabila pulang, didapati rumah mereka turut dinaiki air dan sebab itu, mereka pergi mendaftar di PPS yang telah dibuka… sebab itu, peningkatan jumlah mangsa banjir agak ketara," katanya ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Chegar, Anak Bukit di sini hari ini.

Beliau berkata fenomena air pasang turut menyumbang kepada bencana banjir di Kedah.

"Banjir termenung yang berlaku menyebabkan air lambat surut dan mangsa tidak dapat pulang ke rumah masing-masing… tetapi situasi semasa nampak semakin baik dan ada penduduk yang ditemui memaklumkan paras air semakin berkurangan," katanya.

Mengenai ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia berhubung fasa peralihan monsun yang dijangka bermula Selasa ini dan berterusan hingga awal November depan, Aminurrahim berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan siap siaga.

"Kalau dilihat jumlah pokok tumbang di Kedah menunjukkan peningkatan dan bagi bulan September, jumlah setakat ini ialah sebanyak 1,930 berbanding 1,047 pada Ogos dan 1,053 pada Julai.

"Kita faham apabila berlaku peralihan monsun ini, akan ada angin yang kuat dan ia boleh menjejaskan struktur-struktur yang lemah termasuk pokok-pokok di mana tanahnya sudah longgar, tidak lagi kuat serta boleh menyebabkan ia tumbang," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah meninjau lokasi berisiko terutama dan menasihati penduduk serta orang ramai agar membaiki mana-mana struktur yang tidak kukuh bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan