SUKAN

PERAK CATAT KEMENANGAN PERTAMA DI LAMAN SENDIRI, SABAH TUMBANG DI SELAYANG

22/09/2024 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Perak FC akhirnya berjaya melakar kemenangan sulung di laman sendiri dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0 di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Perak memanjat naik ke tangga ketujuh liga dengan mengumpul 12 mata daripada sembilan perlawanan, hanya empat mata di belakang pasukan ketiga Terengganu FC.

Pada pertembungan malam ini, gol kemenangan skuad bimbingan Yusri Che Lah itu dijaringkan oleh pemain import Luka Milunovic pada minit ke-62 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Di babak kedua, KL City memperoleh peluang keemasan namun penjaga gol Perak Muhammad Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan percubaan Brendan Gan.

Terdahulu PDRM FC turut mengutip kemenangan keempat Liga Super selepas mencipta kejutan ke atas Sabah FC 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini.

Selepas aksi separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, kedua-dua pasukan terus buntu mencipta gol sehingga penyerang import Ifedayo Olusegun meledak gol kemenangan PDRM pada minit ke-80 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan.

PDRM kini di kedudukan keenam liga dengan mengumpul 14 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan