AM

MINAT TIGA SEKELUARGA MEMANCING BAWA TUAH, MENANG PERTANDINGAN DI MAHA 2024

21/09/2024 04:39 PM

SERDANG, 21 Sept (Bernama) -- Kemahiran tiga sekeluarga memancing membawa tuah apabila apabila dinobatkan sebagai antara pemenang dalam Pertandingan 'Fun Fishing' sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini.

Pada pertandingan anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) itu warga emas Siew Kam You, 82 bersama anaknya Yew Choe, 52, dan cucunya Choon Hong, 28, masing-masing memenangi tempat ke-10, kelapan dan keempat.

Berkongsi kegembiraan, Choon Hong berkata ia berkat kemahiran yang diasah oleh datuk dan ayahnya setelah hampir 20 tahun memancing bersama.

Beliau berkata memancing menjadi aktiviti kegemaran buat mereka bertiga yang berasal dari Shah Alam, Selangor untuk meluangkan masa dan merapatkan hubungan.

"Ini pertandingan memancing kali ketiga kami sertai sempena MAHA, dan pada edisi lepas saya muncul juara," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fun Fishing MAHA 2024 di sini, hari ini.

Pertandingan edisi keempat itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Mahfuz Omar manakala majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin.

Bermula 7 pagi, seramai 120 peserta mengambil bahagian untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 dan 15 hadiah sagu hati.

Sementara itu, Mohd Helmi Hasbulla, 22, dari Kajang diumum juara pertandingan dengan tangkapan ikan patin seberat 950 gram (gm).

Pekerja swasta itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta hamper.

"Ini kali kedua saya sertai pertandingan memancing anjuran MAHA dan Alhamdulillah, kali ini diumum juara.

"Saya harap NAFAS akan teruskan pertandingan seperti ini pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan