JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN WARGA ASING DISYAKI LAKUKAN AMANG SEKSUAL, LARIKAN KANAK-KANAK PEREMPUAN

21/09/2024 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki melarikan dan melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Seri Kembangan, Serdang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan dalam kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira 11 malam itu, kanak-kanak warga tempatan berkenaan sedang bermain bersama beberapa rakan berhampiran tempat kerja bapanya.

Beliau berkata bapa mangsa kemudian menyedari anaknya dilarikan seorang lelaki sebelum melaporkan hal itu kepada pihak polis.

Menurut Anbalagan suspek ditangkap tidak lama selepas itu dan didapati memiliki bahan lucah serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

Lelaki berumur 35 tahun itu direman tujuh hari hingga 29 Sept ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 363 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan