AM > BERITA

MISI INDIA DI KUALA LUMPUR SAMBUT HARI YOGA ANTARABANGSA KE-10 DI BATU CAVES

21/06/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Sempena Hari Yoga Antarabangsa ke-10, Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur bersama perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia meraikan hari itu dengan penuh semangat di premis kuil ikonik Batu Caves pada Jumaat (21 Jun). 

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N.Reddy dalam satu kenyataan berkata lebih 1,000 peminat yoga menyertai acara itu untuk meraikan kuasa yoga. 

Menurut maklumat yang terdapat di laman Facebook suruhanjaya tinggi itu, sambutan di Batu Caves itu diadakan dari jam 8 pagi hingga 9 pagi.

"Tahun ini menandakan Hari Yoga Antarabangsa ke-10 dengan tema "Yoga untuk Diri dan Masyarakat". "Di kesempatan ini, Perdana Menteri Narendra Modi melalui perutusan peribadinya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan beliau dalam mempromosikan yoga di Malaysia dan mengharapkan sokongan beliau dalam menjayakan sambutan Hari Yoga Antarabangsa tahun ini," katanya. 

Menurut Reddy, Modi juga menggalakkan semua orang menjadikan yoga sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka kerana yoga menawarkan ketenangan yang membolehkan seseorang mengharungi cabaran hidup dengan tenang dan tabah.

Yoga, amalan fizikal, mental dan rohani kuno yang berasal dari India, menyatukan manusia kerana ia diterima oleh masyarakat di seluruh negara, katanya.

Pada 11 Dis 2014, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai Resolusi, yang dicadangkan oleh India dan disahkan oleh rekod 175 Negara Anggota, mengisytiharkan 21 Jun sebagai Hari Yoga Antarabangsa, katanya.

Reddy berkata yoga adalah amalan popular di Malaysia dengan banyak sekolah yoga, ramai pengamal yoga yang setia, pengajar yoga dan peminat. Malaysia mengiktiraf yoga sebagai satu daripada 103 sukan yang diwartakan di bawah Akta Pembangunan Sukan (Akta 576).

Beliau berkata yoga berfungsi sebagai jambatan antara individu dan masyarakat, memupuk kesedaran perpaduan, menjadi satu dan bersama.

Nilai-nilai ini mempunyai resonans yang lebih besar hari ini, ketika dunia menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya iaitu peperangan dan konflik, krisis iklim dan bencana alam, penyakit gaya hidup dan tekanan kehidupan moden, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan