AM > BERITA

JPSM, UITM KERJASAMA JAYAKAN KEMPEN PENANAMAN 100 JUTA POKOK

22/06/2024 05:02 PM

SHAH ALAM, 21 Jun (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini bekerjasama menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dengan menanam 250 pokok di universiti berkenaan.

Usaha itu selaras dengan komitmen JPSM menanam 100 juta pokok menjelang 2025 iaitu agenda nasional ke arah memperkayakan khazanah hutan negara.

Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di UiTM itu merupakan antara inisiatif JPSM dalam menyumbang kepada kelestarian persekitaran institusi pendidikan sekali gus meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti terhadap kepentingan kawasan litupan hijau.

Ia juga dilaksanakan bersempena Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata program yang menyaksikan penyertaan tenaga pengajar, pelajar dan Alumni UiTM itu dilaksanakan dengan kerjasama MNRB Holdings Berhad.

 Beliau berkata penanaman 250 pokok pelbagai jenis itu juga sebagai simbolik Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti, sekali gus menonjolkan aspirasinya untuk menjadi universiti yang lestari. 

"Kita juga berbincang dengan JPSM dan MNRB untuk mereka menaja program serupa dengan melakukan penanaman pokok secara serentak di kampus atau cawangan UiTM di seluruh negara.

“Jika berjaya dilakukan, usaha ini pasti dapat membantu mempercepatkan misi kerajaan mencapai sasaran menanam 100 juta pokok menjelang tahun depan," katanya ketika ditemui di lokasi penanaman pokok berdekatan Hotel UiTM di sini hari ini. 

Antara pokok yang ditanam ialah meranti bunga, penaga lilin, tongkat ali dan merawan kanching (hopea subalata) yang merupakan spesies endemik di Malaysia dan diklasifikasikan dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) sebagai spesies terancam.

Turut hadir pada program itu Ketua Seksyen (Perhutanan Tani dan Penghutanan Semula) Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan JPSM Muhamad Hafni Ahmad Saraji serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad Zaharudin Daud. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan