AM > BERITA

SABAH MAHU PEMBANGUNAN KORIDOR GAJAH DI KINABATANGAN DISEGERAKAN

30/06/2024 09:02 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah mahu pembangunan Koridor Gajah di Kinabatangan disegerakan bagi melindungi Gajah Borneo.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata projek pembangunan Koridor Gajah itu adalah antara program di bawah Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 dalam usaha memastikan hidupan liar berkenaan tidak pupus di bumi Sabah.

“Gajah ini berisiko untuk pupus...kita perlu melindunginya dengan cepat. Kita akan berbincang dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengenai projek koridor ini, kita mahu ia disegerakan. 

“Saya mahu ia dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. Menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi Gajah Borneo ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) di sini hari ini.

Gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai ‘Terancam’ dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) disebabkan populasinya yang kecil dan semakin berkurangan.

Menurut IUCN, terdapat 1,000 ekor populasi Gajah Borneo dengan kira-kira 400 daripadanya adalah dewasa yang boleh membiak.

Gajah Borneo yang juga dikenali sebagai gajah pygmy Borneo, subspesies kepada gajah Asia atau Elephas maximus dibezakan melalui saiznya yang lebih kecil, dengan gajah jantan membesar sehingga ketinggian kira-kira 2.5 meter.

Liew berkata terdapat pihak yang bermurah hati mendermakan tanah mereka kepada Jabatan Hidupan Liar untuk projek koridor berkenaan manakala pakar rumput telah dilantik untuk menanam rumput bagi menambah makanan gajah.

Rumput napier katanya menjadi antara kegemaran Gajah Borneo dan usaha sedang dilakukan untuk menanam rumput berkenaan di kawasan Sungai Kinabatangan yang menjadi habitat utama gajah itu.

"Ini bagi mengelakkan konflik manusia-gajah, jika gajah tahu di mana hendak mencari makanan di sepanjang Sungai Kinabatangan, maka gajah ini tidak akan cuba masuk ke ladang kelapa sawit atau kampung," katanya.

Beliau berkata Koridor Gajah itu juga akan menjadi tarikan baharu pelancongan di Kinabatangan yang terkenal dengan hidupan liar seperti orang utan dan Monyet proboscis.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan