AM > BERITA

LEPASAN SPM, STPM BERPELUANG TERIMA SURAT TAWARAN DALAM KARNIVAL IPMA

22/06/2024 07:19 PM

KOTA BHARU, 22 Jun (Bernama) -- Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 berpeluang menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian bagi kursus yang diminati dan menepati syarat pada Karnival Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) (IPMA) yang bermula 1 Jun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA Razlan Samsuri berkata pelajar layak mendapat keistimewaan itu hanya berdasarkan slip keputusan peperiksaan SPM yang diserahkan kepada pihak institusi pengajian tinggi sepanjang karnival berlangsung hingga 30 Jun ini.

"MARA berusaha memudah cara, membantu lepasan yang layak untuk mendapat surat tawaran, selain memperoleh maklumat berhubung program yang ditawarkan secara bersemuka dengan institusi diminati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan IPMA peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, MARA menggalakkan pelajar dan ibu bapa mengambil peluang untuk hadir ke karnival yang diadakan di seluruh negara itu, yang bertujuan memberi pendedahan dan maklumat mengenai peluang pendidikan dan latihan yang disediakan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Razlan berkata karnival itu diadakan serentak di Kelantan, Sabah dan Terengganu sebelum siri jelajah terakhir diteruskan di Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang pada 29 dan 30 Jun ini.

"Menerusi dua siri penganjuran serentak di enam negeri pada 1 dan 8 Jun lepas, Karnival IPMA mendapat sambutan memberangsangkan selepas menerima kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

"Ia usaha berterusan MARA untuk memastikan pelajar khususnya di luar bandar tidak tercicir daripada mendapat akses pendidikan terbaik untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi," katanya.

Mengenai karnival di negeri ini yang diadakan hingga esok, Razlan berkata pihaknya menjangkakan kedatangan 12,000 pengunjung ke program berkenaan.

Lebih 30 pempamer daripada pelbagai institusi pengajian tinggi menawarkan pelbagai kursus daripada peringkat sijil hingga ijazah, selain pelajar juga akan diberikan penerangan daripada kaunselor mengenai kerjaya masa depan terutama berkenaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan